MELAKA, 22 April- Penceramah tempatan dari luar Melaka atau luar negara yang ingin menyampaikan dakwah di negeri berkenaan perlu mendapatkan kebenaran khas dari Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, ia bagi mengelak penceramah tersebut tidak membawa elemen perpecahan dan perselisihan antara masyarakat.
Beliau berkata, pemeriksaan akan dibuat dalam memastikan penceramah mendapat pentauliahan di negeri asal dan Melaka.
Abdul Halim berkata, bagi penceramah luar negara, mereka perlu mengemukakan permohonan selain menyertakan biodata dan sejarah perjalanan masuk ke negara ini secara sah.
(Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil)
Tambah beliau, permohonan pentauliahan perlu dikemukakan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum penganjuran majlis di masjid atau surau sekiranya melibatkan penceramah dari luar.