TASEK GELUGOR, 20 Disember - Elemen pendidikan, termasuk pencegahan awal daripada melakukan rasuah penting bagi memperkukuh integriti semua pihak, khususnya penjawat awam.
Aspek itu perlu diberi penekanan terlebih dahulu, sebelum penguatkuasaan dilaksanakan.
Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, agenda antirasuah juga perlu diperluas dalam kalangan rakyat bagi memastikan gejala itu dapat dihapuskan secara menyeluruh.
"Dia bukan setakat penguatkuasaan dan orang rasa takut, yang penting kita nak mewujudkan perasaan hormat kepada undang-undang dan hormat kepada agensi penguatkuasaan.
"Sebab itu, kita perlu merakyatkan agenda antirasuah dan penyalahgunaan kuasa ini agar rakyat bersama-sama dengan SPRM.
"Jadi, kesedaran masyarakat dan desakan daripada masyarakat secara keseluruhan amat penting bagi memastikan negara ini dapat dibersihkan daripada elemen-elemen rasuah dan penyalahgunaan kuasa," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian Karnival Sukan Orang Kita anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Permatang Buloh.
Karnival itu dimeriahkan dengan kehadiran lebih 1,000 orang.