SEKINCHAN, 20 Disember -Kedudukan MIC dalam Barisan Nasional (BN) akan ditentukan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang akan diadakan pada tahun depan.
Pengerusi Barisan Nasional yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu bagaimanapun tidak akan dibincangkan dalam agenda Perhimpunan Agung UMNO 2025 yang dijadual berlangsung pada 14 Januari depan.
"Dia tidak kena mengena dengan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kerana status UMNO dengan MIC adalah sama sahaja di dalam Barisan Nasional.
"Jadi kita akan adakan Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional pada Januari tahun hadapan dan ketika itu kita akan putuskan", katanya demikian kepada media selepas Majlis Pengumuman Pakej Lengkap Desa Kirana di sini hari ini..
Sebelum ini, media melaporkan Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 memutuskan untuk menangguhkan keputusan sama ada parti itu akan keluar atau kekal dalam BN.
Bagaimanapun, Presiden MIC Tan Sri S. A Vigneswaran berkata ketiga-tiga usul termasuk keluar daripada BN telah diterima dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) untuk diteliti.