fb fb fb fb fb

Banjir di Pahang, Terengganu kian pulih

FFOTO BERNAMA

KUANTAN, 20 Disember - Situasi banjir di Pahang dan Terengganu semakin pulih petang tadi dengan jumlah penduduk terjejas banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin menurun.

Di Pahang, seramai 6,036 mangsa banjir daripada 2,049 keluarga kini ditempatkan di 59 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di tujuh daerah di Pahang setakat pukul 8.00 malam.

Menurut Infobencana Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) daerah Kuantan mencatatkan jumlah penduduk terjejas tertinggi dengan 5,262 orang daripada 1,812 keluarga, yang ditempatkan di 41 PPS.

Daerah Pekan pula merekodkan 461 orang daripada 156 keluarga di enam PPS.

Di Jerantut, sebanyak empat PPS dibuka sejak 18 Disember, menempatkan 109 penduduk daripada 33 keluarga melibatkan empat mukim.

Sementara itu, Bera mencatatkan 68 orang daripada 16 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS.

Rompin pula merekodkan 42 orang daripada 13 keluarga di satu PPS, manakala Maran menempatkan 35 penduduk daripada enam keluarga di satu PPS.

Di Temerloh, tiga PPS dibuka pada 19 Disember melibatkan dua mukim, menempatkan 59 orang daripada 13 keluarga.

Cuaca pagi tadi dilaporkan tidak hujan, manakala hujan pada sebelah petang dan malam di beberapa kawasan pedalaman.

Keadaan itu membolehkan sebahagian penduduk dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas terkesan banjir sejak Selasa lalu.

Sementara di Terengganu, seramai 563 penduduk terjejas banjir daripada 184 keluarga kini berlindung di lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di dua daerah di Terengganu.

Daerah Kemaman mencatatkan jumlah penduduk tertinggi dengan 503 orang daripada 161 keluarga, yang ditempatkan di tiga PPS.

Sementara itu, daerah Dungun merekodkan 60 orang daripada 23 keluarga yang ditempatkan di dua PPS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD