fb fb fb fb fb

Pencarum PERKESO hilang upaya atau kemalangan dibantu menerusi program RTW

(Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammad Azman ditemu bual media selepas melancarkan promosi animasi program RTW PERKESO)

PUTRAJAYA, 8 Mac - Sebanyak 42,926 pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang hilang upaya atau mengalami kemalangan berjaya dipulihkan untuk kembali bekerja menerusi program Return To Work (RTW).

Menurut Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammad Azman, daripada jumlah tersebut, majoriti pencarum dapat kembali melakukan pekerjaan lama mereka dengan majikan yang sama atau bersama majikan baharu.

Terdapat juga pencarum yang turut melakukan pekerjaan berbeza dibawah majikan sama atau majikan baharu selain ada yang memilih untuk bekerja sendiri.

"Jadi diharap ramai lagi mereka yang ditimpa bencana akan bermotivasi dan secara sukarela akan menyertai program ini, sebab kita harus ingat dalam program kembali bekerja (RTW) yang paling utama, yang pertama adalah campur tangan awal, kedua kalau seseorang yang ditimpa bencana atau hilang upaya ini tidak bermotivasi, kita tidak akan mencapai kejayaan.

"Kita berharap dengan pengenalan program ini, sesiapa yang menonton program animasi ini akan faham dan bermotivasi, jadi memudahkan untuk kita melaksanakan program pengurusan kes ini supaya mereka kembali bekerja," katanya selepas melancarkan promosi animasi program RTW PERKESO, di sini.


(Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammad Azman ketika melancarkan promosi animasi program RTW PERKESO, di Putrajaya)

Tambah Mohammad, pekerja sektor pembuatan merupakan pencarum yang terbanyak dibantu menerusi program RTW berikutan risiko di tempat kerja mereka yang tinggi.

Iklan animasi itu merupakan pendekatan terbaharu PERKESO untuk memberikan kesedaran dan mendidik masyarakat mengenai proses intervensi awal pengurusan hilang upaya atau mengalami kemalangan dibawah program RTW PERKESO.

Media Baharu