fb fb fb fb fb

Berkempen ketika bersidang, ahli parlimen ditegur speaker

KUALA LUMPUR, 8 Mac - Tindakan Ahli Parlimen yang cuba 'berpolitik' dan berkempen untuk Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor ketika sedang bersidang di Dewan Rakyat ditegur Yang Dipertuan Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Speaker Dewan, Tan Sri Azhar Azizan Harun menegur selepas Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru) membangkitkan mengenai peruntukan PRU Dewan Negeri Johor sebanyak RM150 juta yang menganggap lebih baik peruntukan itu digunakan bagi membantu penternak ayam untuk menstabilkan harga ayam.

“Saya ingin menyeru kepada Yang Berhormat semua kalau boleh kurangkan sikit politik di dalam Dewan, kita tumpukan isu rakyat, maksud saya janganlah berkempen (pilihan raya) di Dewan Rakyat,” kata Azhar di sini hari ini.

Ahli Parlimen Johor Bahru ketika sesi soal jawab, membangkitkan soalan tambahan mengenai harga ayam kepada Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid.

(Ahli Parlimen ditegur kerana berkempen dalam Dewan Rakyat/Gambar fail)

“Isu ayam yang timbalan menteri sebut tadi, puncanya kerana kos, sekarang ini kerajaan bagi subsidi 60 sen untuk stabilkan harga ayam, setujukah timbalan menteri daripada kita belanja RM150 juta untuk PRN Johor lebih baik bantu stabilkan harga sebab rakyat tengah susah sekarang ini, bukan stabilkan politik.

“Rakyat Johor hendak tahu, kenapa mereka perlu masuk (terlibat) dalam PRN sedangkan harga barang sedang naik,” menurutnya.

Ketika bersidang semalam, terdapat beberapa Ahli Parlimen lain menyentuh berkaitan PRU Dewan Negeri Johor termasuk Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) ketika sesi menutup perbahasan Titah Diraja.

“Sebelum saya duduk, saya nak sebut di sini Pengerang Jaga Pengerang, Johor Jaga Johor, insya-Allah N38 dan N39 dimenangi oleh Barisan Nasional,” kata Azalina.

Ini termasuk Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang sempat membuat pesanan semalam kepada pengundi Johor khususnya anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang akan mengundi awal pagi tadi agar membuat keputusan terbaik memilih calon yang berintegriti.

Bukan itu sahaja, ketika menjawab soalan pada sesi soal jawab, Ahli Parlimen Tanah Merah daripada Bersatu sempat menyelit empat rangkap pantun yang berbunyi:
“Debaran PRN Johor semakin terasa,
Esok anggota tentera keluar mengundi;
Demi bangsa Johor yang sejahtera,
Pilihlah calon yang berintegriti.”

Media Baharu