fb fb fb fb fb

Pemandu lori rempuh sembilan motosikal direman

SUNGAI PETANI, 8 Mac - Pemandu lori yang merempuh sembilan buah motosikal hingga menyebabkan dua penunggang motosikal maut di bawah jejambat di Kilometer 92.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Sungai Petani, Kedah, semalam, direman tiga hari, bermula hari ini.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Nurul Ainna Ahmad ketika lelaki berkenaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Petani, pagi tadi.

Lelaki berusia 28 tahun itu disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, dua penunggang motosikal maut, manakala tujuh yang lain cedera selepas dirempuh sebuah lori.

Ketika kejadian, kesemua penunggang motosikal sedang berteduh dibawah jejambat ekoran hujan lebat.


(Keadaan selepas berlakunya kemalangan akibat rempuhan lori di bawah jejambat di Kilometer 92.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Sungai Petani, semalam)

Bagaimanapun, secara tiba-tiba sebuah lori yang datang dari arah belakang dan bergerak di lorong kiri merempuh sembilan buah motosikal yang sedang berhenti di lorong kecemasan dibawah jejambat berkenaan.

Akibat rempuhan tersebut, dua penunggang lelaki berusia 28 tahun berasal dari Kampung Seberang Chegar, Anak Bukit dan lelaki berusia 31 tahun berasal dari Taman Seri Marina, Kuala Kedah, maut di tempat kejadian.

Manakala tujuh yang lain cedera di beberapa bahagian anggota badan.

Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk bedah siasat dan rawatan lanjut.

Manakala pemandu dan kelindan lori masing-masing berusia 28 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ujian saringan yang dilakukan ke atas pemandu lori adalah negatif dadah dan bebas alkohol.

Media Baharu