fb fb fb fb fb

Tiada pelanggaran buruh paksa seperti didakwa, penguatkuasaan dipertingkat

(Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini)

KUALA LUMPUR, 8 Mac- Tiada pelanggaran undang-undang berkaitan buruh paksa oleh syarikat Sime Darby Plantations Bhd. seperti didakwa sehingga menyebabkan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat mengeluarkan perintah larangan eksport minyak sawit Malaysia ke negara tersebut.

Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, hasil siasatan dan semakan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia hanya mengesan kesalahan bawah Seksyen 13(2) Akta Pampasan Pekerja 1952 iaitu gagal melaporkan kemalangan pekerja asing di Pejabat Tenaga Kerja dalam tempoh 10 hari dari tarikh kemalangan. 

Bagi mengatasi isu tersebut, Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah mengambil beberapa inisiatif termasuk menjalankan aktiviti pemeriksaan ke atas syarikat yang dikenakan Perintah Tahan Pelepasan untuk menyiasat dakwaan buruh paksa dalam operasi pengeluaran syarikat.

"Menjalankan penguatkuasaan bersepadu bersama agensi penguatkuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia bagi mengenal pasti kesalahan-kesalahan eksploitasi lain yang boleh membawa kepada elemen pemerdagangan orang dan menjalankan program pendidikan perburuhan kepada syarikat-syarikat terkesan dengan Perintah Tahan Pelepasan. Ini bagi memberi pendedahan serta meningkatkan kefahaman dan kesedaran berkaitan buruh paksa," kata Saravanan ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sungai Buloh, R. Sivarasa.

Jelasnya, inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan itu menunjukkan bahawa kerajaan memandang serius amalan buruh paksa yang didakwa berlaku dalam negara.
 
Selain itu usaha penguatkuasaan dan pendekatan sosial bersama pemegang-pemegang taruh juga akan terus dipergiatkan bagi memerangi amalan eksploitasi pekerja di negara ini.

(Gambar Hiasan)

Mengenai visi dan dasar baharu kerajaan dalam aspek latihan dan pembangunan, tegas Saravanan pelbagai inisiatif sedang giat dijalankan oleh KSM, antaranya Skim Latihan Dual Nasional dan program persijilan industri yang memperuntukkan RM200 juta, aktiviti peningkatan kemahiran dan kemahiran semula yang menyediakan sebanyak 651,812 tempat latihan serta pelbagai program di sediakan.

"Modal insan merupakan pelaburan terpenting bagi pembangunan sesebuah negara. Ia juga merupakan teras kepada inovasi dan ekonomi berpendapatan tinggi yang produktif, jelasnya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sungai Siput, Kesavan Subramaniam berkenaan visi dan dasar baharu Kerajaan Keluarga malaysia dalam latihan dan pembangunan.

"Saya yakin dan pasti bahawa inisiatif ini dapat membantu belia dan para pekerja menghadapi Revolusi Industri 4.0," Katanya.

Media Baharu