fb fb fb fb fb

Pencarian Mohd Noor ditamatkan setelah masuk hari ketujuh

Pencarian secara besar-besaran melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta komuniti nelayan setempat diaktifkan sejak seminggu lalu/Foto Maritim Malaysia

KUALA TERENGGANU, 2 Julai – Selepas tujuh hari tanpa sebarang petunjuk baharu, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) seorang warga emas yang dilaporkan hilang ketika keluar mencandat sotong di perairan Pulau Bidong sejak 25 Jun lalu, ditamatkan secara rasmi pada 7 malam Isnin.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, operasi hari terakhir yang dilaksanakan semalam melibatkan aset Kapal Maritim (KM) Rawa dan Bot Pengawal 16 yang digerakkan seawal pukul 7 pagi.

“Pencarian difokuskan di kawasan seluas 148.95 batu nautika persegi di sekitar perairan Pulau Kapas, namun tiada penemuan signifikan direkodkan sehingga operasi ditamatkan,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Mangsa, Mohd Noor, 64, dipercayai ke laut seorang diri sebelum gagal pulang ke rumah pada 24 Jun.

Susulan itu, pencarian secara besar-besaran melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta komuniti nelayan setempat diaktifkan sejak seminggu lalu.

Walaupun operasi rasmi telah ditamatkan, ahli keluarga dan penduduk setempat masih menaruh harapan agar Mohd Noor dapat ditemui dalam keadaan selamat.

GRACE AISYAH KEDAYAN