fb fb fb fb fb

Malaysia - China perkukuh kerjasama siber, teknologi kuantum dan AI

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin ( kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif NACSA , Ir. Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin ( kanan)

PUTRAJAYA, 2 Julai - Malaysia dan China terus mengukuhkan kerjasama strategik dalam keselamatan siber, teknologi kuantum dan Kecerdasan Buatan (AI), tumpuan terhadap sektor awam-swasta dalam membina penyelesaian keselamatan siber yang berdaya tahan.

Menurut Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin, perkembangan teknologi pengkomputeran kuantum masa kini menimbulkan risiko besar terhadap sistem keselamatan data tradisional, khususnya kata laluan.

Tambahnya, kerjasama kepakaran dua hala ini terhadap teknologi kriptologi kuantum menguatkan lagi keselamatan data negara.

"Berdasarkan analisis pakar, teknologi sedia ada mungkin tidak lagi selamat dalam masa terdekat kerana keupayaan komputer kuantum yang boleh memecahkan sistem penyulitan konvensional dengan pantas.

"Teknologi kriptologi kuantum juga amat diperlukan bagi menjamin keselamatan data negara," katanya selepas Program 'Empowering ASEAN’s Cyber Resilience: Insight from China’s Autonomous Cyber Security Journey' di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Ir. Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata, China ingin bekerjasama serta menawarkan kepakaran dalam usaha membangunkan teknologi keselamatan digital.

"China menawarkan kepakaran kepada Malaysia untuk menghasilkan produk bersama. Di sini kita mengambil kesempatan dengan kemajuan teknologi China dan juga kepakaran yang kita ada," katanya.

Dengan kerjasama ini mengukuhkan lagi keperluan Malaysia untuk terus melabur dalam pembangunan teknologi kuantum dan memperluas kerjasama antarabangsa.

Ia bagi mempercepat penghasilan sistem keselamatan digital yang berdaulat dan inovatif.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI