SEREMBAN, 10 Mei- Kertas cadangan firma penerokaan dasar laut, Ocean Infinity untuk meneruskan pencarian pesawat Malaysia Airlines (MH370) yang hilang ketika dalam penerbangan pada 8 Mac 2014 dijangka akan dibawa ke peringkat kabinet pada Ogos depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, bagaimanapun berkata pihaknya perlu menyediakan kertas cadangan secara terperinci terlebih dahulu sebelum di bawa ke kabinet.
"Proses membawa kertas cadangan ke kabinet masih memerlukan sedikit masa kerana ia perlu dibuat secara terperinci daripada mereka."
"Kemungkinan bulan Ogos nanti, baru masuk ke kabinet untuk dipertimbangkan," kata Anthony kepada pemberita selepas merasmikan dewan baharu terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Sheikh Ahmad di Seremban.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Dr Roslan Hussin dan Pengetua, Datin Ramadhawati Wahab.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan akan meneliti cadangan Ocean Infinity untuk meneruskan misi pencarian pesawat MH370 yang hilang dijangka akan dilaksanakan pada November tahun ini.