fb fb fb fb fb

Peruntukan khas JPM, 314 orang murid SJK(C) Kg. Baru Semenyih terima bantuan  

Foto BERNAMA

SEMENYIH, 10 Mei- Seramai 314 orang murid dalam kalangan keluarga B40 dari Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Kampung Baru Semenyih telah menerima bantuan berupa sumbangan tunai, beg sekolah dan kelengkapan sekolah. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata ia merupakan program pertama di bawah peruntukan khas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), dalam menyantuni murid sekolah yang berlainan bangsa dan agama. 

"Bantuan yang kita berikan kepada pelajar-pelajar B40 ini, tanpa mengira bangsa termasuk anak-anak ataupun ibu bapa dalam kalangan berbangsa Cina, India ataupun yang berbangsa Melayu."

"Semoga dengan langkah awal ini, kita akan menggerakkan dan memastikan generasi akan datang ini kuat hubungan mereka antara satu sama lain, sebab bila nak bina negara mesti ada kesefahaman, kesatuan dan juga perpaduan," kata Dr. Na'im kepada pemberita di sini, hari ini.

Peruntukan keseluruhan yang diberikan adalah sebanyak RM31,400 dimana setiap seorang pelajar telah menerima RM100 seorang dan pelbagai kelengkapan sekolah yang lain. 

Tambahnya, program itu juga merupakan suatu usaha serta pendekatan bagi menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membantu mereka yang memerlukan tidak mengira latar belakang selain menonjolkan nilai-nilai rahmah bagi memperkukuh keharmonian dalam kemajmukan masyarakat.

Beliau berharap dengan sumbangan yang diberikan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban kewangan ibubapa dalam menyediakan persiapan persekolahan anak-anak.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM