TAIPING, 10 Mei- Kementerian Pendidikan (KPM) tidak menolak kemungkinan meminda tarikh keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang sebelum ini diumumkan pada 27 Mei kepada satu tarikh yang lain.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata ia selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak, termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).
Ahli Parlimen Taiping itu juga meminta supaya semua pihak menunggu sehingga kenyataan rasmi berhubung isu itu dikeluarkan oleh KPM selepas ia dipertimbangkan.
"Kerajaan ini adalah kerajaan yang sudi mendengar, jadi apabila kita menerima pandangan yang berbeza daripada semua sektor, maka pihak KPM akan mempertimbangkan semua pandangan itu. Jadi berilah sedikit masa sebelum kami berikan satu keputusan ataupun kenyataan berhubung isu ini," katanya.
KPM menerusi kenyataan pada Khamis mengumumkan keputusan SPM 2023 akan diumumkan pada 27 Mei ini iaitu pada awal cuti persekolahan.
Justeru NUTP berharap pihak KPM dapat mempertimbangkan supaya tarikh pengumuman tersebut diawalkan sebelum cuti sekolah iaitu pada 23 Mei.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Al-Khair Lil Banat di Kamunting sempena lawatan kerjanya ke tujuh sekolah sekitar bandar Taiping dan Kamunting di sini, hari ini.
Dalam lawatan itu, Kah Woh turut memgumumkan peruntukan RM300,000 yang disumbangkan Pejabat Timbalan Menteri Pendidikan untuk tujuan penyelenggaraan, naik taraf dan baik pulih fasiliti serta infrastruktur tujuh sekolah yang dilawati itu.
Semalam, NUTP merayu KPM mengeluarkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2023 lebih awal iaitu pada 23 Mei ini.
Dalam perkembangan lain, Wong memaklumkan sebanyak RM134 juta diperuntukkan bagi penyelenggaran dan menaik taraf tandas di 1,919 buah sekolah bantuan kerajaan eluruh negara pada tahun ini.
"Dalam proses untuk kita memenuhi segala tatacara kewangan yang ada dan setelah semua dipenuhi dan proses itu selesai maka kita akan salurkan peruntukan ini untuk tujuan penyelenggaran tandas. Kita akan umumkan selepas ini," katanya.
Tambahnya, setiap sekolah akan menerima peruntukkan sebanyak RM70,000 bagi tujuan tersebut.