fb fb fb fb fb

Penambahan pusat pendidikan awal kanak-kanak sedang dibincang - KP JPNIN

(Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk Norison Ramli
ditemu bual media selepas merasmikan Hari Graduasi Tabika Perpaduan dan Taska Genius
Perpaduan 2022 di Alor Setar, Kedah)  

ALOR SETAR, 1 Februari - Perbincangan untuk menambah pusat pendidikan awal kanak-kanak sedang dilakukan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Jelas Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk Norison Ramli, bagaimanapun penambahan jumlah Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) atau Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) perlu seiring dengan penambahan guru dan premis di sesebuah kawasan.

Menurutnya, sehubungan itu JPNIN akan mengadakan mesyuarat bersama KPM pada minggu depan bagi memperhalusi perancangan tersebut.

"Ia sebenarnya keadaan sekarang bila ada peningkatan kos sara hidup, dulu memang dia hantar ke sekolah-sekolah swasta, bila kos meningkat, itu yang dia minta supaya kerajaan menambahkan tabika di peringkat kerajaan, tapi kita menunggu daripada pihak Kementerian Pendidikan, kalau dapat kuota lebih untuk kita, Insya-Allah kita juga akan menambahkan juga, tapi dengan dengan syarat kita perlu ada premis, kita perlu ada guru tapi pelajar sentiasa ada Insya-Allah," kata beliau ketika ditemui media selepas merasmikan Hari Graduasi Tabika Perpaduan dan Taska Genius Perpaduan 2022 melibatkan daerah Kota Setar, Padang Terap dan Pokok Sena, di sini hari ini.


(Foto fail)

Norison juga tidak menafikan jumlah TABIKA atau TASKA masih tidak mencukupi berikutan mendapat permintaan tinggi daripada ibu bapa terutama selepas berlaku kenaikan kos sara hidup, namun pada masa sama perlu penambahan guru.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan JPNIN juga akan berbincang dengan KPM untuk menambah silibus bahasa asas iaitu Mandarin, Tamil, Iban, Kadazan, Siam dan bahasa isyarat di TABIKA Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan pra sekolah bermula tahun ini.

Sebelum itu JPNIN perkenalkan bahasa asas tersebut yang disediakan sejak tahun 2020 berkaitan penerapan Rukun Negara di 1,780 Tabika Perpaduan di seluruh negara manakala di Kedah melebihi 100 buah.

Media Baharu