SANTUBONG, 12 Julai- Penambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bukan sahaja akan menjamin tadbir urus yang lebih berkesan, malah akan memberi suara yang lebih kuat kepada rakyat di kawasan yang memerlukan terutamanya di luar bandar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perkara itu adalah tepat dan bersesuaian setelah mengambil kira keluasan serta taburan penduduk di setiap kawasan.
Sarawak dijangka akan menambah bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 82 kepada 99, menerusi pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 yang diluluskan pada 7 Julai lalu.
"Ada pihak berpendapat bahawa kriteria pembukaan kawasan baharu sepatutnya berasaskan jumlah penduduk semata-mata. Namun bagi saya, di Sarawak, kita perlu melihat lebih daripada itu.
Bukan sahaja jumlah penduduk yang perlu diambil kira, tetapi juga keluasan kawasan, kepelbagaian kumpulan etnik, serta keperluan khusus setiap kawasan. Ini penting dari segi pentadbiran.
Apabila sesuatu kawasan baharu diwujudkan, ia membolehkan penduduk di kawasan itu mempunyai wakil yang dapat menyuarakan isu dan keperluan tempatan dengan lebih berkesan," kata Datuk Seri Fadillah kepada pemberita, hari ini.
Justeru, beliau yakin penambahan bilangan Ahli DUN akan menjamin pentadbiran yang lebih berkesan dan tidak tercicir daripada arus pembangunan Sarawak ke arah menjadikan sebuah negeri maju makmur menjelang 2030.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata demikian selepas melawat Program Rintis Kursus AI for MY Future anjuran bersama Parlimen Petra Jaya, Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Kuching yang berlangsung di sini, hari ini.