fb fb fb fb fb

Rangka manusia Guar Kepah akan dibawa pulang dari Belanda

Muzium Arkeologi Guar Kepah dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KEPALA BATAS, 12 Julai - Proses membawa pulang 41 bahagian rangka manusia Guar Kepah dari Belanda ke Malaysia dijangka dilaksanakan dalam tempoh satu hingga dua bulan, sebelum ditempatkan di Muzium Arkeologi Guar Kepah, Penaga.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, semua urusan dokumentasi telah selesai sepenuhnya, dan delegasi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan berlepas ke Collection Center Netherlands (CCNL) pada Julai atau Ogos ini untuk menjalankan proses repatriasi.

Sebaik tiba di Malaysia, rangka manusia prasejarah itu akan diserahkan kepada Universiti Sains Malaysia (USM) bagi tujuan penyelidikan dan analisis lanjut sebelum dipamerkan kepada umum.

Sebahagian daripada rangka tersebut dipercayai telah berada di luar negara hampir 150 tahun dan mempunyai nilai sejarah tinggi dari zaman Neolitik.

Muzium Arkeologi Guar Kepah dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum dibuka kepada pengunjung sebagai salah satu destinasi pelancongan berteraskan arkeologi di Pulau Pinang.

Chow berkata demikian pada Sambutan Penang2030 Fesital X Hari Warisan Seberang Perai 2025 di Kampung Agong, Penaga.

TUN JULIA MOHD TAHIR