fb fb fb fb fb

Penajaan lebih RM22 juta semarakkan sambutan HKHM 2025

Pengerusi Jawatankuasa Penajaan HKHM 2025, Kamarudin Abdul Rani / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 30 Ogos - Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 mencatat sejarah apabila jumlah penajaan meningkat lima kali ganda berbanding tahun lalu hasil sokongan syarikat korporat dan rakan strategik.

Pengerusi Jawatankuasa Penajaan HKHM 2025, Kamarudin Abdul Rani berkata pencapaian itu mencerminkan semangat kebersamaan serta sokongan pelbagai pihak dalam meraikan bulan kebangsaan.

“Bersama-sama pasukan saya, kita berjaya memperoleh penajaan lebih RM22 juta bagi penganjuran tahun ini, berbanding hanya RM4 juta pada tahun lepas," katanya kepada RTM selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini, hari ini.

"Daripada jumlah itu, RM2 juta disalurkan dalam bentuk tunai, manakala selebihnya berbentuk sumbangan perkhidmatan dan barangan antaranya payung, baju, kipas, makanan serta minuman untuk diagihkan kepada pengunjung." jelasnya lagi.

Menurut beliau, pengagihan barangan akan dilaksanakan melalui 12 stesen sukarelawan membabitkan lebih 100 petugas dengan jumlah keseluruhan barangan melebihi 20 tan.

"Tahun ini juga kita mewujudkan Perkampungan Rakan Strategik yang menampilkan 25 syarikat pempamer sebagai tarikan baharu buat pengunjung,” katanya lagi.

Jumlah penaja turut meningkat ketara apabila 114 syarikat rakan strategik menyertai HKHM 2025, berbanding hanya 33 syarikat tahun lalu.

"Saya berharap lebih banyak syarikat GLC, GLIC dan swasta tampil menyumbang pada masa hadapan memandangkan kejayaan serta keuntungan mereka turut disumbang oleh rakyat Malaysia, justeru wajar sebahagiannya dikembalikan kepada rakyat menerusi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia,” tambahnya.

Sokongan penaja bukan sahaja menyemarakkan sambutan, malah memperkukuh usaha promosi dan publisiti bersempena HKHM 2025.

Dengan penglibatan sektor korporat yang semakin kukuh, sambutan tahun ini dijangka lebih meriah, inklusif, dan mampu memberi pengalaman istimewa kepada seluruh rakyat, seiring aspirasi 'Malaysia Madani, Rakyat Disantuni'.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE