SEREMBAN, 30 Ogos – Program Pusat Fasilitasi Pelaburan Malaysia (IMFC) dan Pejabat Pelaksanaan dan Pemudahcara Projek (TRACK) Seminar dan Sesi Bimbingan Perniagaan diharap dapat menjadi platform perbincangan bersemuka antara pelabur dengan wakil agensi kerajaan.
Menurut Exco Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan, Teo Kok Seong, inisiatif itu dapat meningkatkan kadar pelaksanaan projek perkilangan sekali gus menangani pelbagai isu yang dikenal pasti.
Beliau berkata, usaha tersebut turut menggalakkan kemasukan pelabur baharu ke negeri itu.
“Kita ada 12 kawasan industri baharu ketika ini kerana menerima banyak permintaan dari dalam dan luar negara. Ini peluang keemasan untuk pelabur datang dan melihat kawasan yang sedang dibangunkan. Kerajaan negeri bersama MIDA amat komited memastikan mereka melabur di sini,” katanya.
Pengarah Eksekutif Fasilitasi Pelaburan MIDA, Mohd Riduan Abd Rahman
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Fasilitasi Pelaburan MIDA, Mohd Riduan Abd Rahman berkata penubuhan IMFC bertujuan memberi khidmat nasihat komprehensif kepada pelabur bagi memastikan proses pelaksanaan pelaburan di Malaysia berjalan lancar.
“IMFC yang ditubuhkan pada Disember 2023 telah berjaya membantu banyak syarikat mengatasi isu yang diketengahkan. Setakat ini, lebih 30 isu utama berjaya diselesaikan dengan kerjasama pelbagai agensi,” katanya.