GEORGE TOWN, 30 Ogos – Kerajaan Pulau Pinang bakal melancarkan Skim Pembiayaan Transisi Dana CM menjelang akhir tahun ini bagi mempercepatkan pertumbuhan mampan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata skim tersebut akan diterajui Majlis Hijau Pulau Pinang dengan kerjasama rakan perbankan tempatan.
“Skim ini menggabungkan pembiayaan keutamaan dengan pembinaan kemampuan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), sekali gus membantu PKS mengamalkan pendekatan hijau serta memenuhi piawaian kemampanan global.
“Melalui inisiatif ini, ekosistem pembuatan akan lebih kukuh, sekali gus membawa Pulau Pinang ke arah menjadi hab pembuatan mesra alam terkemuka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-56 Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) cawangan Pulau Pinang, di sini pada Jumaat.
Majlis berkenaan turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Ramli Ngah Talib.