SERDANG, 30 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan golongan belia supaya terus memelihara Malaysia yang dianggap sebagai sebuah negara unik.
Datuk Seri Anwar berkata, ini kerana ia menjadi satu-satunya negara berbilang kaum dan agama yang kekal bertahan daripada segi keamanan, kesegaran ekonomi, kekuatan perpaduan serta keutuhan budayanya.
Beliau berkata, segala nikmat dan pencapaian yang dikecapi rakyat hari ini adalah hasil pengorbanan besar, khususnya daripada generasi muda.
“Keadaan ini berbeza jika dibandingkan dengan beberapa negara lain di rantau Asia mahupun di peringkat dunia, sekali gus menunjukkan keistimewaan Malaysia dalam mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan rakyatnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, hari ini.
Terdahulu, seramai 4,000 orang terdiri daripada penjawat awam, agamawan, jentera perpaduan, pelajar sekolah, anggota badan beruniform, pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), golongan belia, usahawan dan warga kerja swasta menghadiri majlis tersebut.
Majlis amanat itu diadakan sebagai satu daripada usaha untuk menzahirkan hasrat dan harapan pimpinan tertinggi kerajaan mengenai kepentingan menghayati semangat kemerdekaan serta menyemai semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.