SERDANG, 30 Ogos - Semua pihak diingatkan agar tidak terjerumus dengan gejala yang cuba memecah-belahkan negara berdasarkan kaum, wilayah atau fahaman sukuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan sedemikian mesti ditolak dengan tegas kerana kepentingan Malaysia jauh mengatasi sentimen perkauman sempit.
Beliau berkata, pengajaran daripada sejarah, rakyat diingatkan bahawa tiada negara akan mampu bertahan sekiranya membiarkan hasutan kebencian antara kaum meresap dalam masyarakat.
“Tetapi nyata tidak ada negara yang mampu merdeka kalau tidak ada semangat kerjasama dan perpaduan dan jati diri cuma selang beberapa abad kadang-kadang ini dilupakan. Malaysia harus belajar dari pengalaman ini jangan lupa bahawa kemerdekaan itu dibayar dengan harga yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, hari ini.
Datuk Seri Anwar berkata, semangat kerjasama, perpaduan dan jati diri rakyat dianggap sebagai tunjang utama dalam mempertahankan kemerdekaan negara.
Katanya, tanpa nilai-nilai itu, tiada negara mampu kekal merdeka meskipun telah berabad lamanya mencapai kebebasan.