fb fb fb fb fb

Melaka kaji semula kawasan larangan menangkap ikan

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh

SEMABOK, 30 Ogos – Kerajaan Negeri Melaka bersetuju untuk mengkaji semula kawasan larangan menangkap ikan di perairan negeri itu bagi memberi ruang lebih luas kepada nelayan menjalankan aktiviti mereka.

Langkah itu termasuk menilai semula pewartaan kawasan larangan menangkap ikan di sekitar Pulau Besar.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata keputusan berkenaan dibuat selepas kerajaan negeri mendengar keluhan nelayan yang berdepan kesukaran hasil tangkapan susulan peluasan kawasan Taman Laut dua tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, kawasan larangan asal di Taman Laut tetap dikekalkan demi pemuliharaan ekosistem marin.

“InsyaAllah kita tengah kaji untuk nyah warta. Kita juga akan berbincang dengan pihak perikanan di peringkat Persekutuan untuk mendapatkan ulasan. Suara nelayan sudah kita dengar, dan telah dibawa dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). MMKN juga setuju untuk menilai semula pewartaan, khususnya kawasan larangan.

"Proses ini mungkin dapat dilaksanakan seawal tahun ini, atau selewat-lewatnya tahun depan. Apa yang penting, ini satu permulaan yang baik bagi menjawab keluhan nelayan,” katanya ketika ditemui pemberita di Semabok, Melaka, hari ini.

Kerajaan negeri menegaskan, langkah itu merupakan tindakan proaktif bagi memastikan suara komuniti nelayan terus diberi perhatian, tanpa menjejaskan usaha memelihara kelestarian alam sekitar.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN