SIMPANG PERTANG, 30 Ogos – Pemantauan berterusan akan dilaksanakan bagi menghadapi kemungkinan bencana gempa bumi di Segamat, Johor, susulan beberapa gegaran yang direkodkan sejak minggu lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) kini berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Beliau berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat negeri dan pusat turut menjalankan pemantauan rapi.
“Saya harap penduduk jangan panik, sebaliknya sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga. Mudah-mudahan tiada bencana besar berlaku. Saya mohon juga agar penduduk menunaikan solat hajat dan berdoa kepada Allah supaya dijauhkan daripada sebarang malapetaka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Kembara Merdeka Akar Umbi 2.0 di Dataran Majlis Perbandaran Jempol, di sini hari ini.
Terdahulu, satu gempa bumi lemah berukuran 2.7 pada skala Richter direkodkan di Segamat kira-kira pukul 7.29 pagi tadi.
Kejadian itu merupakan gegaran keenam dalam tempoh lima hari yang dikesan di daerah berkenaan.