fb fb fb fb fb

Kerajaan MADANI komited hapus kartel, tegas perangi penyeludupan dan rasuah

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto Bernama

SERDANG, 30 Ogos – Kerajaan MADANI menegaskan komitmen untuk membanteras kewujudan kartel yang merosakkan sistem negara, termasuk dalam sektor ekonomi dan keselamatan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu membuktikan kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang menggunakan cara haram serta khianat demi keuntungan peribadi sehingga menjejaskan kepentingan rakyat.

“Kerajaan MADANI telah memecahkan tembok kartel dan kita terus berperang. Saya sudah panggil badan-badan penguatkuasaan, lawan mereka, lawan kartel, lawan kumpulan-kumpulan yang menggunakan cara haram dan khianat untuk merosakkan sendi negara ini. Kita tidak tolak ansur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, hari ini.

Menurut Datuk Seri Anwar, kerajaan sudah berjaya memecahkan dominasi kartel ayam yang bertapak sejak sekian lama, hasil kesungguhan politik, semangat serta pengorbanan rakyat bersama badan penguat kuasa.

Selain itu, beliau menegaskan perjuangan membebaskan negara daripada kegiatan tidak bermoral seperti penyeludupan, rasuah dan penyelewengan masih diteruskan secara bersepadu.

Dalam amanat yang sama, Perdana Menteri turut mengulangi pendirian Malaysia untuk kekal konsisten memperjuangkan hak kemanusiaan rakyat Palestin, meskipun berdepan tekanan geopolitik serta konflik global.

“Kita tegas dalam soal Gaza, tegas dalam soal hak kemanusiaan tetapi tetap pertahankan persahabatan supaya rakyat tidak terkorban dan ekonomi kita terus dikuatkan,” ujarnya.

Tambahnya, Malaysia tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak yang cuba memperlekehkan pendirian negara dalam isu Palestin, malah akan terus berpegang pada prinsip kemanusiaan sejagat.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN