KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Program Malaysia #QuranHour akan dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negara sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pelancongan berasaskan Islam di Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pelancongan memberi jaminan, langkah tersebut selaras dengan strategi kerajaan mempromosikan produk pelancongan Islamik di peringkat antarabangsa.
“Alhamdulillah, Malaysia #QuranHour kini telah memasuki edisi ke-11 dan pihak penganjur mencadangkan agar ia dimasukkan dalam kalendar pelancongan tahunan negara.
"Tiada masalah besar untuk dimasukkan sebagai sebahagian daripada pelancongan islamik yang akan dipromosikan bersama beberapa acara lain seperti sambutan Maulidur Rasul,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Malaysia #QuranHour 2025 yang diadakan di ibu negara, hari ini.
Program berkenaan turut dijadikan acara sisipan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68.