fb fb fb fb fb

UPM bekal telur segar, penuhi keperluan komuniti kampus

Proses penggredan telur oleh Pembantu Veterinar, Mior Mohd Nizam Mior Mohd Shopi bersama staf Fakulti Pertanian, UPM/Foto UPM

KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Setiap pagi, ribuan telur segar dikutip dari Ladang 15 Universiti Putra Malaysia (UPM), hasil ternakan ayam penelur baka ISA Brown oleh pelajar dan kakitangan universiti, sekali gus membantu memenuhi keperluan bekalan telur dalam pasaran setempat.

Bagi yang belum mengenali ayam baka ISA Brown, haiwan ternakan itu sememangnya amat jinak, mesra manusia dan sangat produktif. Ternakan itu mampu menghasilkan sehingga 350 biji telur setahun atau hampir sebiji setiap hari, membolehkan baka tersebut diiktiraf sebagai antara ayam penelur paling produktif di dunia.

Di Ladang 15, Fakulti Pertanian UPM, sebanyak 1,500 ekor ayam HISEX Brown diternak di bawah kelolaan Pembantu Veterinar, Mior Mohd Nizam Mior Mohd Shopi bersama pasukannya. Projek ini bukan sekadar platform pembelajaran dan penyelidikan pelajar, malah menjadi penyumbang utama bekalan telur segar kepada komuniti kampus dan masyarakat sekitar.

Pengurusan di Ladang 15 meliputi keseluruhan rantaian, bermula daripada penjagaan kesihatan ayam, kebersihan reban sehinggalah pemasaran telur. Hasil pengeluaran harian mencecah 1,000 hingga 1,500 biji telur, dengan pengutipan dilakukan seawal pagi bagi memastikan kesegaran terjamin.

Bagi mengelakkan stres pada ayam dan mengekalkan produktiviti, reban dibersihkan secara berkala.

“Keselesaan ayam adalah faktor utama. Bila ayam sihat dan tenang, kualiti telur juga lebih baik,” jelas Mior Mohd Nizam.

Setiap pagi antara pukul 8.00 hingga 8.30, proses penggredan telur dijalankan secara manual oleh beliau bersama dua orang petugas. Walaupun melibatkan jumlah ternakan yang besar, keseluruhan kerja dapat diselesaikan dalam tempoh satu hingga satu setengah jam.



3008 UPM TELUR2
Pembantu Veterinar, Mior Mohd Nizam Mior Mohd Shopi

Telur digred mengikut piawaian pasaran berdasarkan berat dan saiz AA, A, B, C dan D. Gred AA biasanya melebihi 71 gram dan pernah mencapai sehingga 100 gram, manakala gred A hingga D lebih konsisten menjadi hasil utama.

Menariknya, telur yang retak atau pecah tidak dibazirkan. Ia dijadikan makanan haiwan ruminan di ladang, sekali gus mengurangkan kos makanan serta menyokong amalan kelestarian Fakulti Pertanian.

Rekod harian pengeluaran disimpan dengan teliti, manakala laporan bulanan disediakan untuk analisis prestasi. Walaupun masih menggunakan kaedah manual, sistem ini kekal praktikal dan efisien memandangkan skala ternakan yang sederhana.

Telur segar Ladang 15 mendapat permintaan tinggi dalam kalangan warga UPM serta masyarakat sekitar. Harga ditawarkan mengikut gred pasaran semasa, manakala pihak ladang turut memberikan jaminan penggantian sekiranya terdapat aduan berhubung kualiti. Usaha ini meningkatkan keyakinan pembeli terhadap produk UPM.

Bagi memastikan mutu pengeluaran sejajar dengan piawaian industri, Unit Poultry merujuk kepada standard syarikat besar seperti QL Resources Berhad, antara pemain utama industri telur negara. Menerusi perbandingan ini, Ladang 15 memastikan kualiti telur setara dengan kehendak pasaran.

Projek ayam penelur Ladang 15 bukan sekadar operasi komersial, tetapi turut menjadi platform pendidikan dan penyelidikan. Melalui kerjasama dengan pensyarah, pelajar dan rakan industri, ia menyediakan peluang latihan praktikal, program pengajaran serta kajian akademik yang relevan dengan keperluan semasa.

Selain di Ladang 15, projek ternakan ayam penelur turut dijalankan di Pusat Pertanian Putra serta melalui inisiatif pelajar, sekali gus memperluas skala pengeluaran dan impaknya kepada komuniti.

Justeru Mior Mohd Nizam mahu lebih ramai belia menceburi bidang penternakan ayam penelur kerana permintaan terhadap telur segar sentiasa tinggi sepanjang masa.

“Dengan pengurusan yang sistematik, pendekatan lestari dan sokongan rakan industri, bidang ini menjanjikan masa depan yang cerah. Penternakan ayam bukan sekadar sumber pendapatan, tetapi juga sumbangan kepada keselamatan makanan negara,” katanya.

Projek Ladang 15 membuktikan bahawa sektor penternakan mampu menjadi model integrasi antara akademik, industri dan komuniti. Dengan reputasi sebagai pembekal telur segar berkualiti, inisiatif ini menyokong kelestarian makanan dan kesejahteraan masyarakat, seiring dengan visi UPM sebagai universiti bertaraf dunia.

MAT YUNUS BIN SABRI