KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Malaysia yakin kemelut politik yang melanda Indonesia ketika ini mampu ditangani menerusi kepimpinan Presidennya, Prabowo Subianto.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia amat berharap konflik itu dapat diselesaikan secara damai melalui meja rundingan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
“Tidak ada masalah yang tidak boleh diatasi, semuanya boleh dibawa ke meja perundingan dan tidak perlu melakukan tunjuk perasaan atau demonstrasi. Kita tidak berhajat mencampuri urusan mana-mana negara, apatah lagi negara jiran. Saya berharap Presiden Prabowo boleh menyelesaikan isu berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Malaysia #QuranHour 2025 di ibu negara, hari ini.
Sejak 25 Ogos lalu, Indonesia berdepan gelombang tunjuk perasaan antikerajaan yang melibatkan puluhan ribu rakyat di beberapa bandar utama negara itu.