SERDANG, 30 Ogos - Pencapaian ekonomi negara pada suku tahun kedua 2025 membanggakan apabila mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 4.4 peratus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertumbuhan itu tercapai meskipun berdepan cabaran geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi global. Ia berlaku dalam keadaan perang dagang antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang semakin memuncak serta tekanan tarif yang memberi kesan kepada banyak negara.
Beliau menegaskan, Malaysia akan terus mengamalkan pendekatan Kepusatan ASEAN ‘ASEAN Centrality’ dengan mengekalkan hubungan baik bersama kedua-dua kuasa besar dunia, AS dan China.
“Dua minggu lalu saya terima panggilan telefon daripada Presiden AS, Donald Trump. Esok selesai perbarisan merdeka, saya akan ke China atas undangan Presiden, Xi Jinping.
“Itu kebijaksanaan Malaysia, ada hal yang kita tidak setuju tetapi itu kebijaksanaan rakan-rakan kita pimpinan negara ini,” katanya ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 di Taman Ekspo Pertanian (MAEPS) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar berkata kerajaan hari ini menegaskan komitmennya untuk memastikan kemakmuran negara kekal terpelihara, termasuk mengambil langkah konsisten menurunkan defisit fiskal negara sejak mengambil alih pentadbiran.
"Berapa defisit masa kita ambil alih kuasa? 5.6 peratus. Tahun pertama kita turunkan lima peratus kemudian 4.8 peratus. Tahun ini 3.8 peratus Itu rekod dalam mana-mana negara berkembang.
"Tapi dalam masa kita turunkan defisit gaji naik. Bukan kita turunkan defisit, gaji turun. Kita turunkan defisit, perbelanjaan bagi semua negeri itu naik termasuk negeri-negeri yang dikuasai parti pembangkang iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu," kata Perdana Menteri.
Beliau berkata, hutang negara masih banyak tetapi pinjaman baharu telah diturunkan dari RM100 bilion kepada RM70 bilion, manakala gaji, peruntukan serta Sumbangan Tunai Rahmah dinaikkan.
“Ada orang mual dan membenci bila saya sebut kita warisi hutang lebih RM1 trilion, itu kenyataan. Kami warisi kerajaan (sebelum ini), hutang itu termasuk ‘contingent liability’ RM1.5 trilion.
“Malaysia ini masih belum muflis. Sebab itu tatakelola ini harus berdasarkan beberapa landasan utama. Kalau negara ini nak dipertahankan kemakmurannya dan unjuran pertumbuhan itu kekal serta keyakinan pelaburan asing dan domestik kekal, maka kita kena turunkan defisit,” jelasnya lagi.