fb fb fb fb fb

Malaysia bakal tumpuan dunia pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47

Perdana Menteri menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 di MAEPS.

SERDANG, 30 Ogos - Malaysia sekali lagi bakal menjadi tumpuan dunia, apabila beberapa pemimpin utama antarabangsa dijadual menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara pada Oktober ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia kini bersiap sedia menjadi tuan rumah persidangan berkenaan, dengan komitmen serta kecekapan jentera kerajaan yang mendapat pujian pelbagai pihak.

“Presiden Donald Trump sendiri telah mengesahkan kehadiran beliau, dan saya percaya kepimpinan China serta mungkin juga Rusia akan turut serta. Ini satu pengiktirafan besar kepada negara kita,” katanya ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Datuk Seri Anwar turut menyatakan keyakinannya berdasarkan prestasi cemerlang Malaysia dalam menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN beberapa bulan lalu, yang disifatkan sebagai antara yang paling besar, tersusun dan berjaya dalam sejarah penganjurannya.

“Saya lihat kecekapan luar biasa ditunjukkan oleh seluruh jentera kerajaan dari Kementerian Luar, Polis Diraja Malaysia, seluruh kakitangan Jabatan Perdana Menteri, pegawai-pegawai daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, malah seluruh jentera kerajaan. Semua memainkan peranan penting dalam menjayakan acara besar ini," katanya.

Menurut beliau, kejayaan penganjuran tersebut dijangka akan meningkatkan lagi imej Malaysia di mata dunia serta memperkukuh hubungan diplomatik dan ekonomi dengan negara-negara luar.

Selain Presiden Trump, Presiden China, Xi Jinping; Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa dilaporkan antara pemimpin dunia yang dijangka menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Malaysia mempengerusikan ASEAN tahun ini dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan" serta menjadi tuan rumah lebih 300 mesyuarat, program dan sidang kemuncak berkaitan blok serantau itu.

TUN JULIA MOHD TAHIR