fb fb fb fb fb

Malaysia #QuranHour semarakkan tadabbur kitab suci

Penolong Pustakawan Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang, Nor Hayati Yusof / Foto RTM

SEBERANG JAYA, 30 Ogos - Seramai 300 peserta hadir secara fizikal ke program Malaysia #QuranHour di Auditorium Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang, pagi tadi.

Penolong Pustakawan Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang, Nor Hayati Yusof berkata, acara tahunan ini disambut setiap tahun pada 30 Ogos bertujuan membudayakan al-Quran dalam kehidupan seharian.

"Objektif utama program ini adalah membudayakan al-Quran dalam kehidupan seharian serta mengajak seluruh rakyat negeri ini untuk bersama-sama mentadabbur dan menghayati Surah As-Saff yang dipilih untuk dibacakan secara serentak dari pukul 12.00 tengah hari hingga 1.00 petang," katanya ketika ditemui media, di sini, hari ini.

Jelasnya lagi, kira-kira 3,000 penonton turut mengikuti siaran langsung menerusi platform Facebook, YouTube dan TikTok rasmi perpustakaan berkenaan.

Program dimulakan dengan Bicara Ummah bertemakan 'Merdeka dengan Rasa, Bersatu dengan Iman' sebelum diteruskan dengan acara serahan al-Quran wakaf, penyampaian hadiah Pertandingan Wartawan Cilik TV PSS dan pertandingan mewarna kanak-kanak serta persembahan nasyid.

Program berkenaan merupakan usaha sama Perbadanan Perpustakaan Awam Semenanjung Malaysia, Rumah Ngaji dan Majlis Pengarah Perpustakaan Awam Semenanjung Malaysia.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE