fb fb fb fb fb

Penahanan khalwat babitkan dua selebriti bukan gimik raih publisiti- Menteri Agama

Serbuan oleh JAWI Sabtu lalu berjaya menangkap khalwat dua selebriti tempatan di sebuah kondominium mewah di ibu negara

KUALA LUMPUR, 11 Mac- Tindakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menahan dua selebriti yang didakwa berkhalwat bukan satu gimik bagi meraih publisiti. 

Sebaliknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata JAWI sama sekali tidak akan terbabit dalam sebarang usaha penguatkuasaan semata-mata bagi melariskan dan mempromosikan drama yang dilakonkan kedua selebriti itu.

"Khalwat ini adalah satu daripada kesalahan bawah Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997, jadi kalau ada sebarang laporan yang dikemukakan oleh pihak pengadu atau pihak ketiga kepada bahagian penguatkuasaan JAWI berdasarkan aduan tersebut, mereka akan memulakan siasatan.

"Sekiranya dapati ada kelakuan itu diikuti dengan tangkapan, JAWI tidak akan kompromi dengan perkara ini semata-mata untuk mempromosikan selebriti atau apa sahaja,"katanya.

Tambahnya, penahanan tersebut dibuat selepas pihak penguat kuasa agama menerima aduan daripada pihak ketiga. 

Beliau turut mengesahkan perkara tersebut daripada Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail, bagi mendapatkan sendiri penjelasan berhubung isu gimik yang diperkatakan.

Beliau ditemui selepas merasmikan Bulan Wakaf Kebangsaan 2024 sekaligus peluncuran myWaqafPTPTN dan buku amalan tadbir urus wakaf di Universiti Awam Malaysia Terbitan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR).

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE