fb fb fb fb fb

Pemuliharaan tasik, inisiatif hijau MPSepang

Yang Dipertua MPSepang, Dr Ani Ahmad / Foto RTM

CYBERJAYA, 20 Julai - Usaha memelihara kelestarian alam sekitar diteruskan menerusi penganjuran Program Pendidikan Alam Sekitar 2025 anjuran Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) yang diadakan Taman Tasik Cyberjaya, di sini, hari ini.

Yang Dipertua MPSepang, Dr Ani Ahmad berkata, program tersebut menggunakan pendekatan berteraskan konsep ekologi dan sains sivik, selain melibatkan penyertaan komuniti setempat, institusi pendidikan serta sukarelawan.

"Kita perlukan program seperti ini untuk menarik perhatian orang ramai dan meningkatkan kesedaran komuniti yang berada di kawasan ini. Tujuannya adalah supaya kawasan ini dapat dikekalkan dengan konsep landskap yang menarik. Kawasan Tasik Cyberjaya ini meliputi kira-kira sembilan ekar, dan lima ekar daripadanya terdiri daripada badan air seperti kolam semula jadi, aliran sungai dan kolam buatan," katanya ketika ditemui media pada Program Pendidikan Alam Sekitar 2025 di sini, hari ini.

Tanggungjawab untuk memelihara keindahan alam sekitar ini bukan hanya terletak di bahu pihak berkuasa tempatan atau agensi-agensi berkaitan, tetapi juga memerlukan komitmen penduduk setempat, pelajar dan seluruh masyarakat," jelasnya.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Pusat Alam Sekitar Global (GEC) itu, turut melibatkan penyertaan Society for Ecological Restoration (SER) dengan menumpukan pendekatan pemulihan tasik berasaskan alam semula jadi atau 'nature-based solution' bagi meningkatkan kesihatan tasik serta memperkaya biodiversiti tempatan.

Antara pengisian utama program ialah penanaman pokok kekabu dan pelepasan 20,000 anak ikan lampam ke dalam tasik sebagai simbol komitmen terhadap pemulihan ekosistem secara semula jadi.

Usaha ini diharap menjadi titik permulaan kepada perubahan lebih besar dalam membentuk komuniti yang lebih prihatin terhadap kelestarian alam sekitar serta memastikan khazanah semula jadi terus terpelihara untuk generasi akan datang.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE