KUALA LUMPUR, 29 Julai - Malaysia dan Jerman bersetuju untuk memperluas kerjasama strategik dalam pelbagai sektor, hasil perbualan menerusi telefon antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Canselor Jerman yang baharu, Friedrich Merz lewat petang semalam.
Dalam perbincangan itu, kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan memperkukuh hubungan dua hala, selain menjadikan kerjasama erat sebagai asas kepada kestabilan rantau ini dan Eropah.
Datuk Seri Anwar turut menyambut baik penghargaan Merz terhadap peranan aktif Malaysia sebagai pemudah cara dalam usaha menyelesaikan konflik Thailand-Kemboja yang disifatkan satu pengiktirafan terhadap diplomasi serantau dan komitmen negara sebagai Pengerusi ASEAN.
"Malaysia kekal komited memperkukuh perpaduan dan kestabilan rantau melalui diplomasi, dialog dan prinsip kemanusiaan. Kerjasama dengan rakan seperti Jerman penting untuk menjadikan ASEAN blok serantau yang berwibawa, progresif dan berprinsip," katanya.
Malaysia dan Jerman menjalin hubungan diplomatik sejak tahun 1957 dengan hubungan kedua-dua negara terus berkembang menerusi kerjasama dalam pelbagai sektor strategik.
Jerman kekal menjadi rakan dagang paling penting bagi Malaysia dalam Kesatuan Eropah (EU), serta antara pelabur asing utama dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan teknologi tinggi.