fb fb fb fb fb

Pemuda tekad berhenti kerja, pilih berniaga bermodalkan RM60

KOTA BHARU, 17 Februari- Tekad untuk berhenti kerja bagi memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

Peniaga ayam goreng, Saiful Ikhzan Saupi, 38 tahun, bersyukur keputusannya itu tidak sia-sia, malah membuahkan hasil yang baik.

Tindakan nekadnya untuk berhenti kerja kilang di Selangor dan pulang ke kampung halaman di Pengkalan Chepa untuk berniaga ayam goreng membuahkan hasil yang memberangsangkan.

Menurut Saiful niatnya untuk berhenti kerja pada lima tahun lalu timbul selepas isterinya, Nadia Atikah Kamarul Azhar, 28 tahun melahirkan anak sulung mereka.

Bermodalkan RM60 dan empat ekor ayam, bapa seorang anak ini, memulakan perniagaan di tepi jalan.

Tidak sampai satu jam, jualannya habis, sekali gus menjadi titik permulaan perubahan kehidupannya sekeluarga.

"Mula-mula dulu cuba untuk meniaga dalam empat ekor ayam, tak sampai sejam habis. Lepas itu esoknya kita tambah lagi dalam lapan ekor pula, sama, tak sampai sejam habis. Dari situlah bermulanya. Makin bertambah hasil jualan. Sekarang dah lima tahun meniaga, sehari tu dalam 50 ekor ayam juga," katanya.


(Peniaga ayam goreng, Saiful Ikhzan Saupi)

Ujarnya, sambutan amat menggalakkan hingga dia turut menerima tempahan daripada orang ramai.

Melihatkan perniagaannya yang semakin maju, Saiful turut membantu peniaga kecil yang lain untuk memasarkan produk mereka di gerainya.

Berpegang pada konsep sama-sama membantu, Saiful tidak menolak hasrat untuk memiliki cawangan sendiri dan mengilangkan resepi perapan ayamnya pada masa akan datang.

Media Baharu