KUALA LUMPUR, 17 Februari- Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier yang dalam rangka lawatan tiga hari ke Malaysia, diberi sambutan negara di Dataran Parlimen hari ini.
Ketibaan beliau pada pukul 10.00 pagi disambut Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Upacara sambutan dimulakan dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dari Kem Sungai Besi diikuti tembakan meriam 21 das.
Steinmeier kemudian memeriksa kawalan kehormat terdiri empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Batalion Pertama RAMD yang diketuai Mejar Adibadiuezshah Ahmad.
Steinmeier kemudian diperkenalkan kepada anggota Jemaah Menteri dan perwakilan diplomatik asing.
Pada sebelah petang, Steinmeier akan melakukan kunjung hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Manakala pada sebelah malam, beliau akan menghadiri Majlis Jamuan Negara di Istana Negara.
Lawatan ini dilihat memberi peluang kepada Malaysia dan Jerman untuk mengukuhkan lagi hubungan baik serta kerjasama pelbagai bidang di antara kedua-dua negara sekali gus mengeratkan lagi hubungan Kuala Lumpur-Berlin dan menyediakan satu asas yang kukuh untuk meningkatkan hubungan kedua-dua negara ke tahap yang lebih tinggi.
(Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier / FOTO BERNAMA)
Lawatan negara terakhir oleh Steinmeier ke Malaysia adalah 26 tahun lepas iaitu pada April 1997.
Jerman merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara Kesatuan Eropah (EU) dengan nilai perdagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 10.9 peratus berjumlah RM59.87 bilion pada 2022 berbanding RM53.99 bilion direkod pada 2021.