LIPIS, 18 Februari- Seekor gajah liar jantan yang ditangkap di Kampung Simoi Lama, Pos Betau, Lipis, Pahang pada Selasa lalu telah dipindahkan ke habitat asal yang jauh daripada penempatan manusia.
Operasi selama empat hari itu melibatkan 26 anggota Unit Tangkapan Gajah (UTG) Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang, Pahang dan kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata, operasi itu berjaya memindahkan seekor gajah dianggarkan berusia 44 tahun ke habitat asal dan mempunyai sumber makanan yang banyak.
Gajah seberat kira-kira tiga tan itu ditangkap selepas pihaknya menerima aduan daripada penduduk setempat.
(Dua gajah denak, iaitu Kasturi dan Rambai digunakan untuk memujuk dan menarik gajah
liar berkenaan ke atas lori)
Operasi pemindahan haiwan itu mengambil masa kira-kira empat jam.
Gajah jantan itu dipercayai terpisah daripada kumpulannya yang menghuni Hutan Simpan Ulu Jelai.
Dua gajah denak, iaitu Kasturi dan Rambai digunakan untuk memujuk dan menarik gajah liar berkenaan ke atas lori.
Operasi itu dilakukan susulan kejadian serangan gajah liar terhadap penduduk Orang Asli di Ulu Jelai, Lipis sebelum ini.
Serangan yang berlaku 7 Disember telah meragut nyawa wanita Orang Asli di Kampung Simoi Baru dan pada 9 Januari tahun ini melibatkan seorang remaja lelaki di Kampung Tual, Sinderut akibat dipijak haiwan liar itu.