fb fb fb fb fb

Pemilikan PPR Machang, melalui kaedah RTO - KPKT

KUALA LUMPUR, 12 Jun- Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sentiasa prihatin akan kelewatan pengisian kediaman oleh pemohon terutama melibatkan projek Program Perumahan Rakyat (PPR). 

Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kelewatan khususnya di PPR Machang di Kelantan berpunca daripada kekangan pihak kerajaan negeri untuk menguruskan projek tersebut serta peruntukan kewangan yang terhad.

Beliau berkata pada awalnya pelaksanaan projek PPR Machang dan kos pembangunan dibawah tanggungan kerajaan Persekutuan dan selebihnya akan diuruskan kerajaan negeri terutama dalam aspek pengurusan dan pengisian kediaman tersebut.

Melihat kepada masalah tersebut, KPKT juga telah mengangkat kertas Memorandum Jemaah Menteri (MJM) bagi mencadangkan melantik Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sebagai ejen jualan PPR termasuk PPR Machang.

Cadangan tersebut telah dipersetujui, namun proses penjualan unit PPR tersebut tidak dapat diteruskan atas faktor terdapat isu tanah yang masih belum selesai sepenuhnya.

"Justeru, mengambil kira kemaslahatan rakyat secara keseluruhan, KPKT mengambil penetapan dan meluluskan dasar baharu yang mana pada 3 Januari 2023, PPR Machang akan ditawarkan pemilikan melalui kaedah 'Rent To Own' (RTO) dan diuruskan oleh PR1MA Facilities Management Sdn. Bhd (PFMSB) iaitu anak syarikat Perbadanan PR1MA malaysia (PR1MA). PFMSB melaksanakan tanggungjawab sebagai ejen pengurusan dan penyelenggaraan. Penyerahan surat tawaran dan kunci kepada 140 penerima telah disempurnakan pada 19 Mac 2023. Kemasukan awal fasa pertama telah bermula pada 1 April 2023 manakala fasa kedua bagi 278 unit pula dijangka akan dibuat pada bulan Ogos 2023," katanya ketika menjawab pertanyaan yang dikemukakan wakil Machang,  Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal di Dewan Rakyat di sini.

Beliau turut memaklumkan projek PPR Machang, Kelantan telah siap dibina pada 13 November 2019 yang merangkumi 418 unit rumah pangsa lima tingkat dengan kos pembinaan sebanyak RM75 juta.

Manakala bagi projek yang sakit, Akmal memberitahu Kelantan turut merekodkan projek sakit dan terbengkalai paling tinggi berbanding negeri lain iaitu 43 projek daripada 86 projek keseluruhan.


(Foto BERNAMA)

Media Baharu