JOHOR BAHRU, 15 Mac- Seorang pemilik syarikat pengurusan acara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap ahli kumpulan muzik Indonesia, Radja, Sabtu lepas.
Pengakuan dibuat tertuduh, C. S Muremthiran, 37 tahun dihadapan Majistret Hidayatul Syuhada Samsudin.
Dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam mahu membunuh Ian Kasela, 49 tahun, Seno Aji Wibowo 43 tahun dan Mouldyanshah Mulyadi 49 tahun, dengan niat menyebabkan mereka berasa cemas.
Kesalahan dilakukan kira-kira pukul 11.00 malam pada 11 Mac lalu, dalam bilik rehat artis Stadium Arena Larkin, Johor Bahru.
Dakwaan mengikut Seksyen 506 kanun keseksaan.
Kes dikendali Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Natasha Syed Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam bela R Amarpreet Singh.
Hadir sama, peguam pemerhati bagi Kumpulan Radja dan Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru, Mohd Daud Ismail.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM4,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan, tertuduh tidak boleh mendekati mangsa dan saksi pendakwaan.
31 Mei depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes.
(C. S Muremthiran di Mahkamah Majistret Johor Bahru)