fb fb fb fb fb

Ekonomi negara dijangka berkembang 4.5%

KUALA LUMPUR, 15 Mac- Kementerian Kewangan menjangkakan ekonomi negara akan berkembang sekitar 4.5%.

Timbalannya, Steven Sim berkata, ianya selaras dengan apa yang telah diunjurkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang mengunjurkan kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun 2023 iaitu masing-masing pada 4.4% dan 4.0%.

"Berdasarkan unjuran ini, meskipun berdepan dengan cabaran ketidaktentuan global, saya ingin menegaskan bahawa Malaysia tidak akan mengalami kegawatan ekonomi pada 2023.

"Hal ini berdasarkan takrifan kegawatan atau pun kemelesetan ekonomi secara teknikal adalah apabila sesebuah negara mengalami penguncupan ekonomi suku tahunan sebanyak dua kali berturut-turut.

"Namun, Kerajaan akan terus mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negara dan pembangunan yang saksama untuk rakyat serta menjadikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan yang lebih menarik dengan memudah cara proses pelaburan, mewujudkan lebih banyak syarikat pemula berinovasi tinggi dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dengan pendapatan yang setimpal," katanya.

Tambahnya lagi, bagi menangani kesan kenaikan harga barangan keperluan asas, Kerajaan Perpaduan terus melaksanakan pemberian subsidi dan bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan juga pelbagai insentif dengan peruntukan keseluruhan mencecah RM64 bilion.

(Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim)

Pada masa sama, bagi membina semula Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam tempoh pasca pandemik, Kerajaan telah menyediakan dana insentif, potongan cukai, pinjaman dan jaminan pembiayaan dengan peruntukan lebih RM40 bilion.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli.

Media Baharu