fb fb fb fb fb

KPM cadang wang BAP dikredit ke akaun murid

KUALA LUMPUR, 15 Mac- Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti cadangan pengagihan wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) secara kredit terus ke akaun murid sepenuhnya. 

Cadangan tersebut adalah bagi memastikan insiden seperti kecuaian dan kecurian yang pernah berlaku sebelum ini tidak berulang lagi.

Jelas timbalan menterinya, Lim Hui Ying, cadangan itu juga perlu mengambil kira kesediaan pihak bank dan kesukaran murid di pedalaman yang memerlukan kos yang tinggi bagi membuat urusan di bank.

"Penjelasan dan maklumat berkaitan pengurusan wang Bantuan Awal Persekolahan Tahun 2023 kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan juga Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah diberi secara bertulis melalui surat bertarikh 29 Disember 2022 yang dilampirkan bersama Pekeliling Kewangan Bilangan 20 Tahun 2020: Bantuan Awal Persekolahan.

"Susulan daripada surat yang dikemukakan ini, satu sesi Taklimat Pelaksanaan Bantuan Awal Persekolahan Tahun 2023 telah dilaksanakan pada 11 Januari 2023.

"KPM sentiasa memberi taklimat secara berterusan bagi memastikan Pengetua dan Guru Besar mematuhi tatacara kelola pengurusan wang di sekolah," katanya.

Beliau turut memaklumkan dewan, pihak sekolah hendaklah mematuhi tatacara pengeluaran wang tunai daripada bank yang selamat dan mengikut peraturan semasa berdasarkan Surat Pekeliling Kewangan Bilangan 20 Tahun 2020: Bantuan Awal Persekolahan, Perkara 6.

(Timbalan Menteri Pendidikan / Lim Hui Ying)

Pada 16 Januari lalu, wang BAP berjumlah lebih RM109,000 yang diperuntukkan untuk sebuah sekolah di Beranang, Selangor hilang, apabila dilarikan penjenayah.

Lim Hui Ying menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa.

Media Baharu