IPOH, 6 Jun-Pemilik Projek Perumahan Rakyat (PPR) diingatkan untuk tidak menyewa kediaman mereka kepada individu lain.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming menegaskan, pemilik yang benar-benar memerlukan kediaman itu, hendaklah menetap di situ.
Beliau menambah, isu pemilikan rumah tidak akan selesai selagi wujud budaya pemilik rumah tidak bertanggungjawab yang membeli kediaman tersebut untuk disewakan.
"Bila mereka memohon alasannya sebab mereka tiada rumah. Bila sudah dapat tidak duduk pula. Sewakan kepada orang lain. Jika keadaan sedemikian berterusan, saya berasa amat kesal sampai hari kiamat pun masalah kekurangan rumah tidak akan mampu selesai.
"Saya harap semua pemilik PPR wajib duduk mematuhi syarat-syarat dalam kontrak", katanya demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Jalan Utama Bandar Seri Botani di sini.
Mengulas lanjut beliau berkata kerajaan akan menguatkuasakan undang-undang selain melakukan operasi pemantauan ke kawasan PPR ini bagi membanteras isu berkenaan..
Sementara itu, Kor Ming turut menggesa penghuni di Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk menjelaskan yuran penyelenggaraan bangunan bagi membolehkan kerja-kerja menyelenggara dapat dilakukan.
Ia berikutan kerajaan telah membelanjakan sejumlah peruntukkan besar bagi menaik taraf kemudahan di kawasan PPR.
Menurut Kor Ming, sikap tidak bertanggungjawab penghuni PPR itu hanya akan membawa kesan buruk kepada penghuni itu sendiri.
"Minta tolong kepada semua penduduk PPR khususnya mereka yang diselenggara oleh MBI atau mana-mana tolong bayar penyelenggaraan bila kita menikmati segala kemudahan tapi jangan lupa tanggungjawab.
"Ada PPR dekat Terengganu hutang yuran penyelenggaraan sampai RM1.8 juta tidak dibayar. Disebabkan itu, lif semua rosak tidak dapat diguna akhirnya yang menerima musibah adalah penduduk yang duduk di sana", katanya.
KPKT sebelum ini telah meluluskan peruntukkan berjumlah RM100 juta bagi menukar lif usang dan daif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) seluruh negara.