fb fb fb fb fb

Pemikiran Yusuf al-Qaradawi perlu diteroka generasi muda - PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai - Generasi muda perlu meneroka pemikiran dan semangat ulama tersohor, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam menimba ilmu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata amalan 'Wasatiah' yang ditonjolkan Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi perlu dijadikan amalan berterusan sebagai rujukan pemikiran baharu.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)

"Ini sifat seorang da'i, seorang pejuang yang menunjukkan bukan sahaja kesederhaan tetapi tawaduk. Jadi bila dibicarakan soal kesederhanaan itu, itu amalan dia. Kita lihat rupanya, saya ini selayaknya hendak jadi murid pun malu kerana orang ini, tokoh besar dalam dunia ilmu," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku Autobiografi 'Sang Pelita Umat' Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi, di sini.

Buku Autobiografi Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi: Sang Pelita Umat mengisahkan perjalanan hidup Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi serta semangat sejarah perjuangan dan pemikiran kritis tokoh ulama dunia agar dapat diteladani generasi muda.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham telah menghasilkan lebih 100 buah buku termasuk naskhah perundangan Islam serta menerima pelbagai pengiktirafan
antarabangsa.

Dalam pada itu, Datuk seri Anwar turut mendedahkan Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi pernah berpesan agar beliau sentiasa mempertahankan martabat islam di mata dunia.

Ini termasuk menjalinkan hubungan baik dengan negara luar seperti Amerika Syarikat serta Eropah.

“Saya sewaktu di Qatar kebetulan ada Setiausaha AS ketika itu dan Hillary Clinton. Selepas itu saya makan tengah hari dengan Syeikh Yusuf. Berbeza dengan orang yang mengatakan Anwar ini baik dengan Amerika, dia tidak. Pendekatan dia lain. Dia kata dengan saya, 'you bincang pasal apa' (dengan Clinton)?

“Saya bincang pasal 1,2,3,4 (merujuk kepada penjelasan perbincangan ketika itu). Okay. Clinton begini begini begini…Dia kata teruskan Anwar. Kita perlu dalam kalangan pemimpin umat Islam, orang yang boleh menyampaikan pandangan kita yang menunjukkan kekuatan, keupayaan dan akhlak yang baik dalam kalangan mereka," katanya.

Media Baharu