FOTO FB SHAHIDAN KASSIM
PUTRAJAYA, 27 Januari - Pemetaan cahaya berkonsepkan Keluarga Malaysia mewarnai Tangga Putrajaya di sini pada setiap malam mulai semalam hingga 29 Januari sebagai simbolik meraikan Hari Wilayah Persekutuan 2022.
Ia merupakan salah satu acara dalam program Bulan Pencahayaan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang dilancarkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.
Bertemakan Keluarga Malaysia, pemetaan cahaya itu memaparkan kejayaan Putrajaya dari awal perancangan, seni bina dan pengurusan alam sekitar dari awal tahun 1995 sehingga ke hari ini.
“Konsep Keluarga Malaysia bermakna semangat kekitaan iaitu ‘Our City, Our Home' sebab itu kita paparkan konsep ini dalam sambutan ini,” katanya kepada RTM selepas melancarkan Bulan Pencahayaan Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Pemetaan cahaya di mercu tanda baharu Putrajaya itu akan bermula pukul 9 malam hingga 11 malam, demikian menurut kenyataan dikeluarkan Perbadanan Putrajaya (PPj).
Dalam pada itu, Shahidan turut memaklumkan pihaknya sedang merancang untuk membina sebuah lagi ikon seumpama Tangga Putrajaya di sini.
“Kita rancang untuk ada satu lagi Putrajaya ‘step’, mungkin berjumlah 300 anak tangga. Kita akan buat yang kedua nanti,” tambahnya.
Tangga Putrajaya yang dibuka pada 5 Januari lepas mempunyai 250 anak tangga menuju ke atas bukit dan berketinggian 30 meter serta jarak pendakian sejauh 200 meter.
Penduduk dan pengunjung juga menzahirkan keterujaan dengan inisiatif yang dilakukan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) itu.
Aishah Bashah dan Khairin Izzati berkongsi kegembiraan itu bersama media.
"Alhamdulillah, dengan adanya inisiatif ini kawasan Putrajaya ini nampak cantik dan 'hidup' baliklah. Sebab sebelum ini hampir dua tahun kita tiada program besar. Rasa bangga jadi penduduk Putrajaya," kata Aisyah Bashah.
"Bila kita naik bas, kita nampaklah cahaya-cahaya unik ini. Apatah lagi bila malam, suasana itu nampak meriah lagi lah. Barulah kita tahu Putrajaya ini tempat dia cantik-cantik," kata Khairin.
Sementara itu, PPj memaklumkan mercu-mercu tanda di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan juga akan bermandi cahaya pada setiap malam bermula hari ini sehingga 28 Feb, sempena Bulan Pencahayaan Wilayah Persekutuan Putrajaya itu.
Lampu kuning, biru dan merah yang melambangkan warna bendera Wilayah Persekutuan akan dipancarkan pada jambatan-jambatan ikonik seperti Jambatan Seri Wawasan, Jambatan Seri Saujana dan air pancut di tasik Putrajaya.
Kenyataan PPj memaklumkan semua fasad bangunan kerajaan dan bangunan komersil di Putrajaya pula akan dinyalakan pencahayaan jenis mod perayaan, selaras dengan Pelan Induk Pencahayaan Putrajaya.
Pencahayaan ‘warm white’ itu akan menyerlahkan elemen-elemen seni bina, tekstur serta warna asal bahan-bahan pada bangunan ikonik di Putrajaya, yang berunsurkan kiasan seni bina Islamik moden dan seni bina Melayu moden seperti bangunan Perdana Putra, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kompleks PPj.
Bulan Pencahayaan Putrajaya diadakan bertujuan menceriakan serta menyemarakkan sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2022 di samping memupuk rasa cinta dan sayang serta aspirasi ‘Our City, Our Home’ bagi warga Wilayah Persekutuan.