LABUAN, 28 Jun- Labuan perlu memperkasa keupayaan dalam pengeluaran bahan mentah asas bagi menstabilkan keterjaminan makanan, agar kekal mampu milik dan mudah diperoleh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, lebih 86 peratus daripada nilai sektor pertanian di Labuan adalah daripada subsektor perikanan tangkapan.
Perkara itu membuktikan bahawa Labuan mempunyai kedudukan geografi strategik serta kaya dengan sumber selain mempunyai ruang yang boleh diterokai dan diperkembangkan untuk menjadi satu daripada produk yang boleh meningkatkan aktiviti ekonomi di wilayah itu.
"Saya dan pimpinan tertinggi daripada wilayah persekutuan dan juga di Labuan tengah melihat potensi-potensi, selepas ini insya-Allah akan ada tindakan selanjutnya.
"Contohnya kita akan adakan penglibatan dengan petani-petani ataupun pengusaha-pengusaha berkaitan dengan pertanian di Labuan. Jadi kita akan lihat langkah sesuai untuk membantu mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 peringkat Wilayah Persekutuan di sini.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Perangkawan Malaysia merangkap Pesuruhjaya Banci Pertanian 2024, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin.
Menurut Datuk Seri Dr Zaliha, kemajuan industri itu tercapai sekiranya dapat membina satu ekosistem lebih inklusif dan menyeluruh bagi memastikan kelestarian industri berkenaan.
Oleh itu Kerajaan MADANI juga berhasrat untuk memastikan keseimbangan lebih adil dalam ekosistem industri tersebut.