fb fb fb fb fb

Kebolehpasaran graduan TVET pertanian cecah 81.23%

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (empat, kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang Kategori A: Inovasi Pelatih pada majlis persasmian Karnival TVET Pertanian @KPKM 2025 di sini hari ini. Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 28 Jun – Kadar kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pertanian pada tahun 2024 mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu 81.23%, berbanding 78.1% pada tahun sebelumnya.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, peningkatan ini membuktikan kejayaan dalam pelaksanaan program latihan yang semakin relevan dan memenuhi keperluan industri.

"TVET pertanian terus mencatatkan peningkatan kepada 81.23% berbanding 78.1% pada tahun 2023. Bermakna minat mereka terhadap institut latihan pertanian semakin meningkat," katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan Program Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (PINTAR) dalam mewujudkan inovasi yang akan memperkukuh keterjaminan makanan negara.

"KPKM juga menyokong usaha kerajaan ke arah 'Membangun Malaysia MADANI' dalam pembentukan modal insan ke arah pembangunan teknologi dan inovasi baharu agar semua pelajar mampu menangani cabaran Revolusi Industri 4.0 di masa hadapan.

"Usaha ini sejajar dengan dasar agromakanan negara bagi membangunkan bakat yang memenuhi permintaan industri. Ini termasuk aspirasi pelaksanaan dan pembudayaan Program Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat," katanya.

Tambah beliau, kebolehpasaran menunjukkan kejayaan program latihan yang relevan dan memenuhi keperluan industri, memberikan peluang besar kepada graduan untuk membina kerjaya dalam sektor pertanian

"Bagi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), kadar kebolehpasaran graduan yang tertinggi adalah dalam bidang poultry iaitu 100%, ruminan 93.2% dan penyelenggaraan jentera kecil pertanian 92.3%," jelasnya lagi.

Sementara itu, Datuk Seri Mohamad juga menyentuh mengenai kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam menangani isu peningkatan harga sayur-sayuran disebabkan oleh cuaca buruk dan bencana alam.

"Insya-Allah kerajaan terumanya FAMA sentiasa melihat dan menangani perkara ini. Ia perkara yang selalu berlaku bila musim tengkujuh, tidaklah berterusan.

"FAMA akan membantu jika harga itu sampai diletakkan harga minimum, dengan memberi harga yang sesuai untuk dipasaran," katanya ketika berucap pada Karnival TVET Pertanian@KPKM di sini hari ini.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI