fb fb fb fb fb

Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga S. Subramaniam

(FB Istana Negara)

KUALA LUMPUR, 6 Julai- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Timbalan Presiden MIC, Tan Sri S. Subramaniam yang meninggal dunia malam tadi.

Baginda berdua juga menzahirkan rasa sedih dan berharap seluruh keluarga mendiang sabar dan tabah dengan pemergian mendiang.

Istana Negara dalam hantaran di Facebook memaklumkan, Seri Paduka berdua amat menghargai khidmat bakti, jasa dan pengorbanan mendiang kepada masyarakat dan negara.

"Pemergian mendiang disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada MIC dan negara,"

Subramaniam meninggal dunia pada usia 78 tahun, di rumahnya di Petaling Jaya, Selangor malam tadi.

Berita berkaitan
PM ucap takziah atas pemergian S.Subramaniam
Bekas Timbalan Presiden MIC, S. Subramaniam meninggal dunia

Mendiang banyak berjasa kepada negara semasa berkhidmat sebagai Timbalan Menteri di tiga kementerian iaitu Kementerian Pertanian, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Ahli Majlis Tertinggi MIC L. Sivasubramaniam, ketika mengesahkan berita duka tersebut, berkata mendiang yang diserang strok pada 2011 dan terlantar sejak itu meninggal dunia dalam tidur pada kira-kira 8 malam.

(Tan Sri S. Subramaniam meninggal dunia pada usia 78 tahun, di rumahnya di Petaling Jaya, Selangor/BERNAMA)

 

Media Baharu