fb fb fb fb fb

Banjir di Baling Kedah: Semua agensi di bawah KDN digerakkan - Hamzah

KUALA LUMPUR, 6 Julai - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggerakkan semua agensi di bawahnya menerusi Op Bantu Baling bagi mengkoordinasi bantuan dan operasi menyelamat mangsa tragedi banjir di Baling, Kedah.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, operasi diketuai Ketua Polis Kedah CP Wan Hassan Wan Ahmad melibatkan pelbagai agensi di bawah KDN.


(Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin)

Antaranya Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Agensi Anti Dadah Kebangsaan serta Jabatan Penjara Malaysia.

Datuk Seri Hamzah dalam satu kenyataan berkata, seramai 164 pegawai serta anggota PDRM telah diatur gerak, manakala sebanyak 44 aset kenderaan serta peralatan kecemasan PDRM dihantar ke lokasi bencana termasuk empat bot, lapan lori dan tiga kenderaan pacuan empat roda.

Seramai 46 anggota RELA turut dikerah bagi membantu mangsa banjir selain bertugas di pusat pemindahan sementara (PPS).

Untuk sebarang maklumat berkaitan, orang ramai boleh menghubungi  Pusat Kawalan Malaysia (MCC) PDRM di talian 03-2266 3333 / 03-2266 3444 / 03-2266 3451 atau talian MERS 999. 

Media Baharu