fb fb fb fb fb

630 hektar sawah kering dan 300 pesawah dilema

PASIR MAS, 6 Julai - Lebih 300 pesawah di Kampung Tok Uban, Pasir Mas, Kelantan buntu memikirkan nasib mereka yang kerugian ratusan ribu ringgit apabila kawasan sawah mereka tidak mempunyai sistem aliran air yang lengkap.

Situasi berkenaan turut menyebabkan tanah sawah seluas 630 hektar di sembilan unit  Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) menjadi kering dan merekah selain pertumbuhan padi turut terbantut, sekali gus merosakkan kualiti tanaman yang dihasilkan di sawah berkenaan.

Antara tanah sawah yang terlibat membabitkan PPK Tok Uban, Tok Dap Kecil, Tok Dap Besar, Kampung Gelam, Bechah Kidal, Kampung Nibong, Gong Dayat, Binjai dan Kampung Kelar.


(630 hektar sawah kering di Kampung Tok Uban, Pasir Mas, Kelantan)

Pihaknya mendakwa sudah beberapa kali mengadu berkaitan masalah terbabit kepada pihak berwajib tetapi masih belum diambil sebarang tindakan.

Mereka hanya boleh menuai sekali setahun berbanding di tempat lain sebanyak dua atau tiga kali setahun.

Menurut salah seorang pesawah, Nazri Mohd Ali, 50 tahun, sepatutnya masalah pengaliran air ke sawah di situ tidak berlaku kerana jarak punca air iaitu di Danau Tok Uban, sangat dekat dengan kawasan berkenaan.

Katanya, mereka berharap pihak berwajib turun padang sendiri untuk mengkaji cara penyelesiaan serta melaksanakan pembinaaan aliran air ke sawah agar masalah yang dihadapi pesawah selama lebih 50 tahun ini dapat diselesaikan dengan segera.

Kebanyakan penduduk di kampung berkenaan mengharapkan hasil tanaman padi sebagai punca pendapatan utama.

"Harap pihak berwajib berharap kepada pihak berwajib untuk nak mengadakan maknanya sistem air di kawasan sawah ini kawasan sawah sekarang setahun sekali sebab tiada sistem air menjadi kepada pesawah-pesawah padi kalau macam itu setahun sekali dia jadi hasilnya tidak memuaskanlah," kata Nazri di sini

Sementara itu, pesawah generasi ketiga, Radin Mohamad Hafiz, 25, mengakui dia adalah antara anak muda yang berhasrat untuk terus memajukan sawah padi di kawasan berkenaan.

Sebagai menyahut seruan kerajaan untuk anak muda bertani, dia berharap tindakan membina saliran air dilakukan secepat mungkin agar tidak timbul kekangan pada masa hadapan.

"Saya orang muda sudah mengusahakan sawah padi, berharap biar lah berpanjangan sampai bila-bila, jadi minta pada pihak brerwajib unutk membuat saluran air kepada semua petani tempat kita ni," kata Raden Mohd Hafiz Yusman.

"Mintak pihak berwajib untuk tolonglah kami pesawah di sini. Sebab kami orang kampung sini bergantung hidup kepada turun temurun dengan bersawah, daripada generasi orang tua tua dulu lagi," kata Mat Nasir Yaakob di sini.


Dalam perkembangan sama, kumpulan pesawah di situ turut meminta pihak berwajib membantu mereka membina jalan batu yang lebih baik untuk masuk ke kawasan sawah memandangkan keadaan laluan sekarang yang berlopak dan berlecak terutama ketika hujan.

Media Baharu