fb fb fb fb fb

KPLB segerakan kerja pembaikan rumah mangsa banjir di Baling

BALING, 5 Julai - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan membuat penilaian segera bagi menyalurkan bantuan pembaikan rumah mangsa banjir di daerah Baling, Kedah.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, KPLB mempunyai peruntukan khas bagi bantuan yang berkaitan malapetaka dan bencana.


(Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid membuat tinjauan di kawasan bencana banjir di sini)

"Kita ada peruntukan segera, di bawah kementerian pun ada peruntukan segera yang boleh digunakan, jadi saya dah bercakap dengan KSU, bahawa kita akan gunakan peruntukan sebab ini termasuk dalam kategori malapetaka dan bencana.

Kalau baiki rumah, kita nak tengok segera, GiatMara akan turun esok, kita tengok setiap rumah, pengarah KPLB pun ada di sini dan kita tengok satu rumah berapa yang patut kita baiki dan kalau yang boleh baiki itu kita baiki terus sebab ini bencana," katanya kepada media selepas melakukan tinjauan di kawasan bencana banjir di Kampung Sungai Iboi, di sini petang semalam.

Turut serta, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Datuk Ruji Ubi.

Jelas Mahdzir, pihaknya akan melaksanakan proses kelulusan khas bagi menyediakan peruntukan bantuan pembaikan rumah, bina baharu dan juga pembinaan semula infrastruktur yang rosak seperti jambatan kecil.

Semua bentuk bantuan dan pengendalian mangsa bencana katanya, akan diselaraskan oleh ICU JPM. Antara keutamaan yang perlu disegerakan adalah berkaitan infrastruktur awam seperti jambatan.

"Antara benda yang perlu disegerakan adalah membuat sambungan jambatan di Sungai Iboi untuk membolehkan orang menyeberang, sebab sekolah ada seberang sini, masjid di seberang sana, jadi harus di percepatkan. Jambatan sementara dahulu, sebab jambatan yang solid itu ia memakan masa, tapi kalau yang itu lambat sebab dia nak kira sebut harga, nak kira konsultansi lagi, jadi kita buat yang segera dahulu."

Tambah beliau, KPLB juga akan menggerakkan pasukan sukarelawan bencana daripada GIATMARA untuk membantu dari segi pendawaian elektrik rumah mangsa bencana.

"Jadi ada kaedah-kaedah yang insha-Allah esok akan diputuskan oleh ICU dan lain-lain ada rumah yang hilang setakat ini yang telah dimaklumkan, ada 7 buah dan ada rumah yang patut dibaiki, yang itu pun kami dah ada, dia orang dah buat senarai", kata Mahdzir.

Beliau turut memaklumkan, tiga buah rumah mangsa banjir yang terlibat adalah milik kakitangan agensi di bawah KPLB iaitu Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Manakala tiada premis tabika atau tadika KEMAS terlibat dalam bencana itu.

Media Baharu