KUALA LUMPUR, 6 Ogos - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyambut baik penekanan yang diberikan terhadap sektor pekerjaan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), terutamanya dalam aspek peningkatan kebajikan dan perlindungan kepada golongan pekerja.
Presidennya, Datuk Abdul Halim Mansor berkata RMK13 membuka ruang penting untuk kerajaan terus memperkukuh dasar berkaitan gaji progresif dan pembangunan modal insan, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.
“Kerajaan sudah mempunyai Akta Gaji Minimum Kebangsaan yang menetapkan semakan gaji setiap dua tahun. Pelaksanaan gaji progresif yang dicadangkan dalam RMK13 merupakan kesinambungan positif dan perlu dilaksana dengan berkesan melalui Majlis Perundingan Gaji Negara,” katanya.
Menurut beliau, penekanan terhadap gaji progresif seharusnya mengambil kira keadaan ekonomi semasa serta keperluan sektor-sektor utama negara, supaya ia memberi manfaat secara langsung kepada pekerja.
Datuk Abdul Halim turut menyarankan supaya penetapan kadar gaji disemak semula dengan lebih telus dan inklusif, mengambil kira garis panduan ekonomi serta kos sara hidup rakyat.
Menyentuh mengenai aspek pembangunan berteraskan teknologi dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) seperti yang digariskan dalam RMK13, beliau menegaskan perlunya mekanisme pensijilan kemahiran yang menyeluruh bagi pekerja berpengalaman.
“Pekerja yang sudah lama menyumbang dalam sektor masing-masing perlu diberikan pengiktirafan melalui sistem pensijilan kerja di tapak (on-job certification). Ini membolehkan mereka mendapat peluang kemajuan kerjaya dan pendapatan yang lebih setimpal,” katanya.
MTUC turut menyokong cadangan kerajaan memperluas akses latihan kemahiran di bawah institusi seperti Institut Latihan Perindustrian (ILP) bagi meningkatkan keupayaan tenaga kerja sedia ada, selaras dengan aspirasi RMK13.
Menurut beliau, langkah ini perlu diselaraskan dengan kerangka Program Negara Pekerjaan Layak (Decent Work Country Programme) seperti yang digariskan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), memandangkan lebih setengah juta tenaga kerja baharu memasuki pasaran setiap tahun.
MTUC yakin pelaksanaan RMK13 yang berpaksikan nilai keadilan sosial dan kemampanan ekonomi akan memperkukuh kesejahteraan golongan pekerja di pelbagai peringkat.